Kerajaan BN tidak pernah memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin tetapi sebaliknya dasar negara selama ini sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sehungan itu, beliau membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sebelum ini mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim “bersifat talam dua muka” kerana menyatakan sokongannya terhadap usaha-usaha melindungi keselamatan Israel.

“Apakah Najib perlu diingatkan bagaimana layanan kerajaan Malaysia terhadap pemimpin negara Palestin yang sah dipilih secara demokrasi pada pilihanraya 25 Jan 2006?” soalnya dalam satu kenyataan media, lewat malam tadi.

Sebagai dalilnya, Saifuddin Nasution berkata Malaysia pada Mei 2006 telah menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) tetapi anehnya kehadiran Dr Mahmoud Al Zahar selaku Menteri Luar sah kerajaan Palestin yang dilantik oleh Perdana Menteri Ismail Haniyeh telah dibelakangkan.

Sebaliknya, menurut beliau Putrajaya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu bekas Menteri Luar Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum pilihan raya 25 Januari 2006). Malah, pada persidangan tersebut Qadummi dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.

“Hal ini tidak sukar difahami kerana PM Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili Hamas yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas.

“Hakikat bahawa Hamas menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap Hamas yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.

“Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan Hamas. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan Fatah yang tewas pilihanraya,” katanya.

Pulaukan NAM

Menurut Saifuddin Nasution lagi, Dr Zahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau persidangan NAM tersebut.

Beliau kemudiannya menemui pimpinan PAS termasuk timbalan presiden ketika itu Nasaruddin Mat Isa. Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan BN itu kerana menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan Palestin.

Malahan, kata beliau, Nasaruddin pula kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap’

“Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin. Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin.

“Insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihan raya.

“Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan Hamas pada ketika itu maka Malaysia juga akur. Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten?” soalnya.

Najib semalam diminta mengulas kekecewaan dan kebimbangan Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh yang disampaikan ketika pertemuannya dengan Nasharuddin, selaku Pengerusi Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia di Kuwait, baru-baru ini berhubung kenyataan Anwar mengenai Israel itu.

Pendirian berbeza

Menurut beliau ketua umum PKR itu sering membuat pendirian berbeza terhadap pendengar yang berlainan dalam isu.

Anwar, sebelum ini pada wawancaranya dengan majalah Wall Street Journal (WSJ) dilaporkan berkata beliau menyokong usaha menjaga keselamatan Israel. Pada masa yang sama, pada wawancara itu, Anwar turut menegaskan bahawa kepentingan sah rakyat Palestin juga mesti dilindungi.

Kenyataannya itu mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak termasuk Majlis Syura Ulama PAS yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel dan mahu Anwar menarik balik kenyataannya itu ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan adalah tidak benar.

Putar-belit BN bukan lagi satu rahsia kepada rakyat umum, namun arus media perdana yang berkiblatkan UMNO-BN masih terus-terusan cuba mengkongkong minda rakyat dengan berbagai penipuan fakta yang sahih.

Rakyat pendalaman yang berumur setengah abad mungkin dapat diperdayakan dengan dakyah-dakyah dari media-massa tetapi anak-anak muda yang berada di tempat pendalaman sudah tahu kisah yang benar dan menolak cerita yang palsu. Semoga anak-anak muda ini dapat memberi penerangan kepada mereka yang masih percaya dengan kepalsuan berita yang disampaikan oleh media-media yang dikuasai oleh UMNO-BN.

Kalau DSAI dituduh ‘menyokong keselamatan Israel harus dipelihara’ tetapi dalam masa yang sama keselamatan dan kedaulatan Palestin juga diberi keutamaan yang setimpal apakah situasi yang berlaku sekarang telah memberi jaminan keselamatan kepada Palestin? Yang jelas banyak negara-negara Islam di timur-tengah telah mengiktiraf kewujudan Israel!

Dulu, sekarang dan selamanya negara-negara Islam telah dan sedang dilaga-lagakan oleh Israel dan Amerika selagi isu Palestin menjadi karenah diplomasi di antara negara-negara Islam.

Seharusnya idea DSAI dijadikan jembatan yang mendorong kepada perpaduan negara-negara Islam yang dapat menghuraikan isu Palestin dalam bentuk diplomasi yang akan mengubah pentas dunia Islam dan Arab khasnya.

Sampai bila kita ingin melihat Palestin tidak wujud secara sah dan dalam tempoh waktu yang bergerak saban hari kewujudan Israel telah diiktirafkan oleh banyak negara-negara dunia yang lain. Apakah kita (negara-negara Islam) mempunyai kuasa tentera yang boleh bertindak menghapuskan kewujudan negara Israel? Apakah kita mempunyai kuasa ekonomi yang boleh melumpurkan Israel? Apakah negara-negara Teluk bersatu hati menjadikan emas hitam sebagai senjata untuk Amerika tunduk dengan tuntutan mereka dalam isu Israel-Palestin? Mereka telah dikucar-kacirkan oleh Amerika dan Israel semata-mata demi kedudukan kerajaan mereka yang rata-rata memerintah sebagai sebuah kerajaan beraja!

Jalan pendekatan yang logik adalah biarkan kewujudan Israel dan dalam masa yang sama bantu Palestin membangun dan membangun terus membangun sebagai sebuah negara yang satu hari nanti dapat mengatasi Israel dari berbagai sudut yang sekarang Israel kuasai, ini tidak mustahil. Syaratnya Israel dan Palestin bebas dari kegenjotan politik yang sengaja direka kerana kebimbangan Israel melihat tidak ada kata sepakat dari negara-negara Islam yang mengiktirafkan kewujudannya. Seandainya ini menjadi kenyataan ( semua negara-negara Islam mengiktirafkan kewujudan negara Israel) apakah alasan bagi Israel dan Amerika untuk tidak membenarkan negara dan rakyat Palestin bersatu dan membangun sebagai sebuah negara yang berdaulat?

Advertisements